| Résumé: | Tesis yang dihasilkan ini berkisar tentang kajian kes yang memfokuskan tentang
amalan kajian tindakan oleh guru sekolah menengah di negeri Sabah. Tujuan
utama kajian ini adalah untuk meneroka tentang amalan kajian tindakan guru
sekolah menengah di negeri Sabah terhadap pengembangan emansipasi guru
untuk melakukan transformasi pengurusan pengajaran di bilik darjah. Kajian ini
menggunakan reka bentuk kajian kes secara kualitatif dengan menggunakan teknik
temu bual, pemerhatian dan analisis dokumen sebagai kaedah pengumpulan data.
Kajian ini dikategorikan sebagai multisite studies kerana mempunyai kes dan
tempat kajian yang lebih daripada satu. Kajian ini dianalisis dengan menggunakan
teknik analisis dalam kes (Within-Case analysis) sebelum dianalisis semula secara
bersilang kes (Cross-Case analysis). Data dianalisis menggunakan analisis Tematik
(Thematic Analysis) yang mengenal pasti, menganalisis dan melaporkan corak tema
dalam data. Penentuan sampel adalah °berdasarkan reka bentuk persampelan
bertujuan. Kajian ini melibatkan tujuh orang guru yang bertugas di tujuh buah
sekolah menengah di negeri Sabah. Dapatan kajian menunjukkan amalan kajian
tindakan oleh guru mampu untuk mengembangkan emansipasi guru dan
seterusnya melakukan transformasi pengurusan pengajaran di bilik darjah. Amalan
kajian tindakan dapat merealisasikan transformasi pengurusan pengajaran guru di
bilik darjah. dengan mempamerkan tentang keupayaan para guru untuk
mempersoalkan tentang amalan sendiri, berfikir secara kritikal, menekankan nilai
kesamarataan dan prinsip demokratik terhadap amalan masing-masing di bilik
darjah. Walaupun emansipasi merupakan istilah yang abstrak tetapi dalam konteks
kajian ini proses pengembangan emansipasi guru diterjemahkan menerusi
maknanya secara konkrit dengan wujudnya transformasi pengurusan pengajaran
oleh guru di bilik darjah. Apa yang pasti para guru yang mengamalkan kajian
tindakan berupaya untuk merealisasikan transformasi pengurusan pengajaran
masing-masing di bilik darjah sekaligus mengaplikasikan perubahan terhadap
amalan seiring dengan arus globalisasi masa kini.
|