| 总结: | Disertasi ini dijalankan bagi memperincikan dan menganalisis tahap penguasaan dan penggunaan tulisan Jawi dalam pembelajaran oleh guru pelatih pendidikan Islam di IPGM (Kampus pendidikan Islam, Bangi. Guru pelatih pendidikan Islam dipilih sebagai batasan kajian yang tertumpu terhadap penguasaan dan pengaplikasian tulisan Jawi yang meliputi aspek pembacaan dan penulisan tulisan Jawi. Oleh itu bagi merealisasikan penyelidikan ini, beberapa objektif telah digariskan iaitu (1) meneliti sejarah perkembangan tulisan Jawi bermula dari teori tahap pembentukan dan perubahannya serta wujudnya beberapa kaedah ejaan Jawi yang terdapat di Malaysia, (2) mengkaji kaedah pengajaran dan pembelajaran Jawi di IPGM (Kampus Pendidikan Islam) dan yang terakhir (3) menganalisis berkaitan penguasaan dan penggunaan tulisan Jawi dalam kalangan guru pelatih pendidikan Islam. Penyelidikan ini adalah bersifat kajian kuantitatif yang melibatkan pengiraan di bahagian bab keempat dan sebahagian lain bersifat kualitatif bagi menjawab objektif pertama dan kedua. Metode yang digunakan bagi pengumpulan data ialah kaedah perpustakaan (sekunder), dokumentasi (primer), temubual berstruktur (primer) dan edaran borang soal selidik (primer). Manakala, bagi metode analisis data, ia dianalisis secara deskriptif menggunakan perisian SPSS berasaskan edaran borang soal selidik yang diperolehi dan jumlah sample responden (guru pelatih pendidikan Islam) yang diambil ialah sebanyak 200 orang daripada keseluruhan populasi berjumlah 300 orang. Hasil kajian mendapati, guru pelatih pendidikan Islam boleh menguasai kaedah tulisan Jawi terkini walaupun terdapat beberapa kaedah yang mengelirukan dan dari aspek penggunaan tulisan Jawi pula menunjukkan guru pelatih pendidikan Islam mampu menggunakannya dalam pembelajaran harian berdasarkan analisis dan perbincangan yang telah dinyatakan di dalam disertasi ini.
|