| الملخص: | Kajian ini merupakan kajian lapangan dan perpustakaan.
Dalam kajian ini, penulis telah mengutarakan metodologi
penulisan campuran (mixed method). Dalam kajian ini, penulis
menggunakan kaedah kuantitatif terlebih dahulu kemudian diikuti dengan kaedah kualitatif sama ada dalam proses pengumpulan maklumat mahupun menganalisa maklumat. Kedua-dua kaedah ini dilakukan secara serentak bagi memastikan ketulenan data yang dikumpul dan diproses. Kesemua data yang diperolehi diproses menggunakan SPSS versi 10. Ini merupakan satu pendekatan berani yang telah dilakukan oleh penulis. Kajian ilmiah ini dilakukan untuk melihat tahap kesedaran, tanggungjawab mahupun komitmen pekerja Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) di semua
peringkat sama ada pekerja atasan mahupun sokongan terhadap
pelaksanaan MS ISO 9001:2000. Selain dari itu, kajian yang
dilakukan ini juga bertujuan untuk melihat kesan pelaksanaan MS ISO 9001:2000 di JAIM.
Kajian ini begitu penting, kerana ia akan membantu JAIM
mengenalpasti masalah yang timbul semasa melaksanakan MS
ISO. Antara masalah yang ditemui oleh penulis semasa
menjalankan kajian ini, ialah karenah birokrasi yang wujud selain daripada kurangnya kerjasama yang erat di kalangan pekerja-pekerja JAIM di semua bahagian sama ada pekerja atasan mahupun sokongan. Di akhir kajian ini, penulis telah menjumpai pemboleh ubah kesedaran, mempunyai hubungan yang lemah tetapi positif dan signifikan dengan kesan pelaksanaan MS ISO 9001:2000 di Jabatan Agama Islam Melaka berbanding hubungan kesan dengan pemboleh ubah-pemboleh ubah yang dikaji iaitu komitmen dan tanggungjawab menunjukkan hubungan yang sangat lemah dan negatif. Ini menunjukkan, kesedaran memainkan peranan yang sangat positif dan signifikan di dalam mempengaruhi kesan terhadap pelaksanaan MS ISO 9001:2000. Selain itu, keadaan ini berlaku, kerana wujudnya ekstranus dalam pemboleh ubah yang dikaji seperti perbezaan tahap pendidikan, jurang perbezaan umur yang ketara terhadap pekerja-pekerja JAIM sama
ada pekerja atasan mahupun sokongan. Faktor inilah yang
menyebabkan perhubungan antara pemboleh ubah yang dikaji
tidak menunjukkan hubungan yang sangat kuat. Selain itu, kajian ini hanya merupakan kajian sains sosial serta sukar untuk mendapatkan ketepatan disebabkan wujudnya pengaruh luar, berbanding kajian dalam bidang sains yang mengutamakan
ketepatan seperti bidang kedoktoran, famasutikal dan kejuruteraan.
|