| Résumé: | Kajian ini membincangkan pelaksanaan pengajian al-Quran di sekolah rendah Islam swasta di Kota Bharu, Kelantan Darun Naim. Kajian ini melibatkan tiga buah sekolah terpilih. Tujuan kajian ini adalah untuk mengenal pasti pelaksanaan pengajian al-Qur’an dan menganalisis persepsi murid dan guru terhadap pelaksanaan pengajian al-Qur’an. Instrumen yang diguna dalam kajian ini ialah soal selidik dan temu bual. Kajian ini dijalankan terhadap 277 orang murid dan 25 orang guru sebagai responden. Data-data dianalisis melalui SPSS Versi 21.0. Analisis deskriptif seperti frekuensi, peratusan dan graf telah dijalankan dalam kajian ini, Dapatan menunjukkan hampir 69% murid dapat menguasai al-Quran sama ada mengenal dan membaca dengan baik. Manakala 31% murid yang masih lemah, masih keliru dengan sebutan huruf dan kalimah serta hukum-hukum tajwid. Namun dapatan yang amat memberangsangkan ini menunjukkan pembelajaran yang dibawa mudah diikuti oleh murid. Penekanan yang diberi oleh guru adalah untuk menjadikan muridnya mahir al-Qur’an. Secara tidak langsung, didapati hampir kesemua murid-murid tahun lima dan enam telah mengkhatamkan al-Qur’an. Prestasi cemerlang dan sahsiah yang ditonjolkan oleh murid–murid adalah berkat daripada iltizam dan penjagaan adab terhadap al-Quran. Pelaksanaan yang sistematik menampakkan hasil yang memuaskan. Kerjasama dari pihak pentadbir, guru, ibu bapa dan murid telah berjaya membawa ke matlamat nya, iaitu untuk memberi teras kepada pendidikan roh al-Qur’an.
|