| Summary: | Kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi merupakan komponen penting dalam
era globalisasi. Kecekatan dan kecanggihannya mampu melahirkan pelajar yang
berkualiti serta berdaya saing dengan dunia luar. Oleh hal yang demikian, kajian ini
mengetengahkan tentang penggunaan m-pembelajaran berdasarkan pendekatan
heutagogi dalam kalangan pelajar tingkatan enam ketika belajar bahasa Melayu di luar
bilik darjah dari segi sikap, kemahiran, pengetahuan dan amalan mereka. Kajian ini juga
dilaksanakan bagi menentukan perbezaan pelajar dari segi sikap, kemahiran,
pengetahuan dan amalan berdasarkan jantina dan kelas. Selain itu, kajian juga melihat
tentang pengaruh bagi sikap, kemahiran dan pengetahuan terhadap amalan m pembelajaran pelajar berdasarkan pendekatan heutagogi tersebut. Kajian dilaksanakan
menggunakan reka bentuk kuantitatif melalui instrumen soal selidik yang telah
diadaptasi daripada kajian lepas. Data kajian ini diperoleh daripada 292 responden yang
terdiri daripada pelajar tingkatan enam yang mengambil subjek Bahasa Melayu di
daerah Kuala Kangsar, Perak dengan menggunakan teknik persampelan bertujuan. Data
dianalisis secara deskriptif iaitu min, frekuensi dan sisihan piawai serta inferensi iaitu
ujian-t dan ujian Regresi Berganda menggunakan perisian IBM Statistical Package for
Social Science (SPSS) Versi 27.0. Hasil dapatan menunjukkan sikap, kemahiran,
pengetahuan dan amalan pelajar tingkatan enam berada pada tahap yang tinggi iaitu
8.82, 4.05, 3.94 dan 3.91. Hasil analisis ujian-t menunjukkan tidak terdapat perbezaan
yang signifikan antara sikap, kemahiran, pengetahuan dan amalan m-pembelajaran
pelajar tingkatan enam berdasarkan jantina dan kelas. Hasil analisis Regresi Berganda
juga menunjukkan ketiga-tiga pemboleh ubah bebas, iaitu sikap, kemahiran,
pengetahuan mempengaruhi amalan pembelajaran pelajar ketika menggunakan m pembelajaran berdasarkan pendekatan heutagogi dengan nilai R2 ialah 0.758. Hasil
penelitian keseluruhan dapatan ini menunjukkan bahawa pengetahuan pelajar (ß =
0.737) lebih mempengaruhi amalan m-pembelajaran berdasarkan pendekatan heutagogi
ketika belajar bahasa Melayu secara kendiri di luar bilik darjah. Secara keseluruhannya,
hasil dapatan kajian ini mengesahkan serta menyokong penggunaan teori pendekatan
heutagogi dan konstruktivisme sosial boleh dilaksanakan oleh pelajar tingkatan enam
ketika belajar bahasa Melayu di luar bilik darjah. Oleh itu, hasil gabungan penggunaan
m-pembelajaran dengan pendekatan heutagogi juga mampu melahirkan pelajar yang
cemerlang, boleh berbahasa Melayu dengan cekap dan berupaya untuk berdaya saing
dengan masyarakat luar.
|