| Summary: | Semenjak kemerdekaan pada tahun 1957, perhubungan persekutuan-negeri
di malaysia menunjukkan satu kecenderungan pemusatan kuasa dalam tangan
kerajaan persekutuan. Keadaan ini berlaku kerana rekabentuk perlembagaan
yang bias kepada kerajaan pusat, terutamanya pengawalan kerajaan
persekutuan terhadap kerajaan negeri dalam bidang kritikal seperti
kewangan, perancangan, pembangunan dan perlaksanaan dasar
membolehkannya mempengaruhi perjalanan pemerintahan di sesebuah negeri.
Kecenderungan ini diperkukuhkan lagi melalui kawalan sebuah parti
gabungan politik, iaitu barisan nasional secara umum dan lebih khusus lagi
umno, terhadap kerajaan persekutuan dan hampir semua kerajaan negeri di
malaysia. Melalui kawalannya terhadap jentera perancangan dan
perlaksanaan pembangunan serta kewangan, kerajaan persekutuan berupaya
mempengaruhi tempo dan arus pembangunan yang berlaku dalam sesebuah
negeri di malaysia. Tesis ini merupakan satu kajian terhadap aspek
pembangunan dalam perhubungan persekutuan-negeri di malaysia. Lebih
khusus lagi, ia merupakan satu kajian terhadap perhubungan antara kerajaan
persekutuan dengan kerajaan negeri pulau pinang dari 1970 hingga kini
dalam konteks perindustrian pesat yang dialami di negeri pulau pinang. Apa
yang membezakan proses perindustrian pulau pinang dari kecenderungan
pemusatan yang berlaku dalam persekutuan malaysia ialah penglibatan aktif
kerajaan negeri dalam proses ini.
|