Putrajaya, 9 September 2025 – Jabatan Digital Negara telah menganjurkan program Klinik Pembangunan Reka Bentuk Perkhidmatan (Service Design) Whole-of-Government (WoG) bersama pemilik projek, sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh pendekatan penyampaian perkhidmatan digital kerajaan.
Program ini menjadi wadah perbincangan strategik antara agensi berkaitan, bertujuan memperhalusi reka bentuk perkhidmatan yang lebih mesra pengguna, inklusif, serta mampan dalam menyokong transformasi digital sektor awam.
Bagi projek MyTheses, dua wakil jawatankuasa yang hadir ialah En. Muhamad Hanif dari Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan En. Norkamarizal dari Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM). Kehadiran mereka telah memperkukuh sesi klinik melalui perkongsian input dan pandangan berkaitan keperluan pembangunan platform, khususnya dalam memastikan keberkesanan penyampaian maklumat akademik serta capaian tesis dan disertasi di peringkat nasional.
Program ini melambangkan komitmen kerajaan dalam mengangkat prinsip Whole-of-Government sebagai asas penyelarasan projek digital, dengan penekanan kepada kerjasama rentas agensi dan institusi. Langkah ini bukan sahaja memperkukuh ekosistem perkhidmatan digital, malah turut menyokong agenda keterbukaan ilmu dan inovasi bagi manfaat masyarakat serta negara.

